Tuesday, March 3, 2009


Misteri ajal bayi

KOTA BHARU: Seorang bayi perempuan berusia 14 bulan yang ditinggalkan ibunya dengan hanya ditemani seorang kakak berusia tiga tahun di rumah mereka di Taman Mesra, Gua Musang, meninggal dunia dalam keadaan misteri, semalam.

Bayi malang itu mempunyai kesan cedera di kepala dipercayai akibat hentakan benda tumpul hingga membawa kepada kematiannya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata setakat ini, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut, tetapi tidak menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kes terbabit.

Beliau berkata, terdapat pelbagai punca kecederaan mangsa, termasuk terjatuh atau babitkan anggota keluarga.

“Polis masih menunggu laporan hasil bedah siasat dijalankan pakar forensik di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini untuk membantu siasatan dan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, seorang ibu tunggal berusia 30 tahun yang bekerja di Hospital Gua Musang, dikatakan kebingungan dengan kematian anak bongsu daripada dua beradik itu yang kematian bapa kandung ketika baru berusia lima bulan.

Dia menyedari anaknya itu dalam keadaan lemah ketika mahu menyuap makanan sebaik pulang ke rumah selepas selesai bekerja jam 6 petang.

Dia yang mulai risau membawa mangsa ke sebuah klinik swasta di bandar ini untuk pemeriksaan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia jam 6 pagi semalam di HUSM sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk dibedah siasat.

Cubaan wartawan Harian Metro menemubual wanita itu gagal berikutan dia enggan memberikan kerjasama.

Ibu mangsa dilihat masih tergamam ketika hadir di pekarangan HRPZII.

Difahamkan dia menyerahkan segala-galanya kepada hospital dan polis untuk menjalankan siasatan.

Nenek saudara mangsa, Ramlah Idris, 45, pula menyatakan dia hanya mengetahui berita kematian bayi itu apabila dihubungi ibu saudara mangsa yang berada di Kuala Lumpur.

“Sebaik dimaklumkan berita itu, saya dan suami terus bertolak dari Besut menuju ke HUSM, tetapi diberitahu mayat dibawa ke HRPZII.

“Kami tidak tahu cerita sebenar kerana tidak sempat berjumpa ibu mangsa yang terus bergegas pulang ke Gua Musang.

“Malah, kakaknya berkali-kali cuba menghubungi tetapi gagal kerana telefon bimbitnya ditutup,” katanya ketika ditemui, semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa sering ditinggalkan dengan hanya ditemani kakaknya di rumah dan sekali-sekala dihantar ke rumah datuk mereka di Jertih, Terengganu.


Dipetik daripada artikel harian metro 03 Mac 2009 .../..