Tuesday, February 17, 2009

Islam tidak halalkan suami dera isteri

KUALA LUMPUR: “Orang yang berkasih-sayang adalah orang yang beragama,” kata Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa golongan lelaki tidak bertanggungjawab dikesan menggunakan budaya dan agama sebagai alasan untuk melakukan keganasan terhadap wanita.

Menurut Dr Robiah, agama tidak mengajar penganutnya menjadi jahat apatah lagi melakukan kekerasan terhadap keluarga sendiri.

“Asas dan pegangan agama yang kukuh menjadikan individu hidup dalam pedoman dan peraturan bukan hidup dengan peraturan yang direka sendiri.

“Jika mereka mengatakan ada agama yang menghalalkan kekerasan, maka dia hanya menggunakan agama sebagai alasan demi menunjukkan apa yang dilakukan itu tidak menyalahi undang-undang,” katanya.