Wednesday, February 18, 2009


Gadis silap tekan

SEREMBAN: Mengerikan apabila sebuah kereta Proton Wira dipandu remaja perempuan terbalik dan terjunam ke dalam Sungai Temiang sedalam kira-kira empat meter berhampiran Pasar Besar Seremban di sini, semalam.


Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu hampir meragut nyawa pemandunya, Chin Mei Yuen, 19, dari Taman Layang-Layang di sini yang memandu seorang diri.

Dia dipercayai tertekan pedal minyak sebelum keretanya merempuh besi penghadang lalu terjunam ke dalam Sungai Linggi seluas kira-kira lima meter itu.

Chin bernasib baik kerana hanya cedera ringan dan dia yang trauma dengan kejadian itu dan ditenangkan beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.



Seorang saksi, Koh Lee Giap, 30-an, berkata dia terdengar bunyi dentuman kuat lalu bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika berjalan kaki menuju ke pasar, saya terdengar bunyi kuat seolah-olah berlaku perlanggaran kenderaan dan terus menuju ke arah bunyi itu.

“Sebaik menghampiri tempat kejadian, saya nampak seorang wanita cuba merangkak keluar dari keretanya dalam keadaan terhoyong-hayang,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi JPAM untuk memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai JPAM Seremban, Kamalruzamal Kasa, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.50 minit tengah hari.

“Mangsa dikeluarkan orang ramai dari kenderaannya.

“Dia hanya cedera ringan dan mengadu sakit di leher sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.


dipetik daripada artikel harian metro 18 feb 2009 ...