Thursday, March 19, 2009


Kenduri air mata

KANGAR: Majlis akad nikah dijadualkan esok, manakala kenduri pada Sabtu ini sudah diatur, tetapi kini hanya tinggal kenangan.

Ini kerana bakal pengantin lelaki terbunuh selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Kampung Sungai Padang, dekat sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 7.45 malam, Ku Herizuan Ku Lah, 26, menunggang motosikal seorang diri untuk ke rumah datuknya di Simpang Empat di sini.

Mayatnya ditemui dalam parit berhampiran tempat kejadian.

Bapa mangsa, Ku Lah Desa, 52, berkata semua persiapan untuk perkahwinan anak sulungnya itu, termasuk membeli pakaian, kasut, hantaran dan belanja majlis kenduri pada Sabtu ini sudah dibuat.

Berikutan kematian anaknya itu, majlis perkahwinan mangsa dengan pasangannya, Suhaila Rejab, 26, ditukar kepada kenduri arwah berikutan keluarga terbabit sudah menjemput tetamu sejak sebulan lalu.

Katanya, arwah yang bekerja sebagai buruh kontrak sibuk sebelum kejadian, tetapi kelihatan gembira ketika mengumpul kayu dan mengupas kelapa untuk majlis perkahwinannya.

Selepas itu, dia bergegas ke rumah datuknya di Simpang Empat.

“Ketika dalam perjalanan, dia terbabit dalam kemalangan apabila motosikal ditunggangi terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Kampung Sungai Padang,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.

Arwah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan mayatnya ditemui dalam keadaan tertonggeng dalam parit berhampiran jalan.

Ku Lah berkata, sebelum kejadian, anak sulungnya daripada dua beradik itu keluar dengan bakal isterinya membeli cincin perkahwinan untuk majlis akad nikah.

“Sejak dua tiga hari ini, arwah begitu sibuk mengurus majlis kenduri perkahwinannya termasuk menghantar kad jemputan dan semua persiapan dilakukannya sendiri bagi meringankan bebanan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik Daerah Kangar, Cif Inspektor Roslan Mohamed, berkata mayat mangsa yang bekerja sebagai buruh kontrak itu ditemui orang awam dalam keadaan tertonggeng di dalam parit berhampiran jalan raya berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati motosikal dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di tempat kejadian.

“Mangsa tercampak ke dalam parit dengan kepalanya terjunam ke bawah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke HTF untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, penunggang motosikal berusia 36 tahun yang bergesel dengan mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di HTF.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Jodoh dan pertemuan itu ditentukan Allah..kita hanya merancang tp Yang Maha Esa Penentu segalanya. Yang pergi tetap akan pergi...yang hidup teruskan perjuangan untuk hidup..Allah itu Maha Adil, Dia lebih Mengetahui dalam Menentukan Yang Mana Lebih Baik Untuk Hamba Nya. Sejauh mana pn kita berusaha..sesusah mana pun kita merancang...setiap jawapan hanya ada pada Allah..kalau Allah dah tentukan kita akan kembali kepada-Nya awal tanpa mengikat tali perkahwinan..redha jer la...sebab itu janji kita pada Allah sebelum kita ditiup roh ke dalam rahim ibu kita..igt lah kita, amal kebajikan dan solat itu lebih penting berbanding daripada apapun di dunia ini..seberjaya mana pun kita, tapi kita xpernah mengingati Allah, nescaya kita akan kerugian. Syurga seorang anak di bawah telapak kaki ibu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suami..berbuat baiklah kita kepada semua orang..sejahat mana pun mereka, mereka tetap saudara seagama islam kita..golongan Adam dan Hawa. janganlah kita menghianati sesama kita...insyaAllah..berdoalah senantiasa...sentiasa bersabar dengan apa yang menimpa diri kita..kerana Allah sangat menyayangi hambanya yang sentiasa bersabar dalam menempuh segala ujian-Nya.Allah akan mengganjarkan sesuatu di sebalik kesabaran itu, insyaAllah.

AL-FATIHAH UNTUK ARWAHYARHAM Ku Herizuan Ku Lah, semoga Allah tempatkannya di sisi orang2 yang beriman dan bertaqwa. insyaAllah.