Thursday, February 12, 2009


MATI DILANGGAR BAS TAK BERPEMANDU


KUALA LUMPUR: Seorang penjual nasi lemak hanya mampu menjerit apabila rakan baiknya yang menunggu bas mati melekat pada sebatang pokok selepas dirempuh sebuah bas ekspres tidak berpemandu yang tiba-tiba meluncur ke arah mereka.Dalam kejadian jam 8.15 pagi semalam, Rohani Abd Ghaffar, 52, mati di tempat kejadian.Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang baru selesai menamatkan waktu bertugas di hospital swasta berhampiran, duduk di tempat menunggu bas berhampiran Jalan Pudu.Saksi kejadian, Rosnah Kassim, 40, berkata, ketika insiden, dia baru membuka gerai menjual nasi lemak dan kuih-muih berhampiran perhentian bas berkenaan.
Menurutnya, Rohani yang juga kawan baiknya sempat singgah menemuinya.
“Ketika itu, dia cukup gembira sambil memberitahu tidak sabar pulang ke rumahnya di Taman Damai Indah 2, Cheras, selepas penat bekerja sepanjang malam.“Dia yang sedikit keletihan hanya duduk tersandar berhampiran pokok berkenaan, manakala saya pula sibuk melayan pelanggan,” katanya.Dia bagaimanapun terkejut apabila tiba-tiba melihat sebuah bas ekspres bergerak tanpa pemandu sebelum melanggar pembahagi tengah jalan.“Saya sempat menjerit ‘Lari! Lari!’ kepada orang ramai dan pelanggan sebelum gerai saya melambung dirempuh bas terbabit yang datang dari laluan bertentangan.“Ketika itu, bas ekspres terbabit meluncur sebelum merempuh Rohani yang tergamam dan tidak sempat mengelak. Kemalangan ngeri itu menyebabkan Rohani berlumuran darah dan gagal diselamatkan,” katanya.Sementara itu, jurucakap polis berkata, pemandu bas terbabit mendakwa bas berkenaan mengalami kerosakan ketika dipandu ke Hentian Bas Puduraya untuk mengambil penumpang.“Ketika pemandunya cuba memperbaiki kerosakan dipercayai pada bahagian bateri, bas itu tiba-tiba bergerak sendiri.“Ia meluncur laju masuk laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah lagi bas ekspres yang diletakkan di baru jalan,” katanya.Katanya, bas itu merempuh tembok berhampiran perhentian bas lalu melanggar Rohani.“Mangsa yang berusia 52 tahun mungkin tidak menyedari bas terbabit menuju ke arahnya,” katanya.Katanya, pemandu bas terbabit dikenali sebagai Amran, 40-an, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Trafik Kuala Lumpur.“Siasatan awal mendapati dia tidak pasti sama ada terlebih dahulu menarik brek tangan bas itu sebelum melakukan pemeriksaan punca kerosakan,” katanya.

DIPETIK DRP HARIAN METRO 12 FEBRUARI 2009