Thursday, February 19, 2009


Bayi mandi darah

AMPANG: Dia tentunya mengharapkan sambutan mesra anggota keluarga ketika pulang selepas mengikuti pengajian agama selama tiga hari di masjid, pagi semalam.

Bagaimanapun, sebaik Muhammad Ali, 40-an, membuka pintu rumah, dia terkedu sebaik melihat bayi perempuannya, Habizah yang baru berusia setahun meratap di sisi mayat ibunya yang bermandi darah.

Lebih menyayat hati, bayi itu turut menggoncang mayat ibunya yang terbujur di rumah sewa mereka di Lorong Permai 14, Ampang Tasek, Ampang Jaya di sini, kira-kira jam 9 pagi.

Habizah dipercayai menyaksikan saat cemas ketika ibu, kakak serta sepupunya ditikam sekumpulan penjenayah yang menyamun rumah mereka.



Penjenayah terbabit disyaki menceroboh rumah itu sebelum membunuh tiga penghuninya menggunakan sebilah pisau Rambo.

Mereka menggeledah ruang tamu dan bilik untuk mencari barang berharga.

Habizah bagaimanapun tidak dicederakan, sebaliknya dibiarkan berkeliaran meratap mayat ibu serta dua lagi ahli keluarganya yang sudah tidak bernyawa.

Mangsa yang terbunuh dikenali Nurhajahan, 39, anaknya, Nurazizah, 7, dan Nasir, 22, semuanya warga Myanmar.

Menurut sumber polis, sejurus membuka pintu, Ali terkejut apabila mendapati ruang tamu rumahnya dipenuhi darah selain kesan barangan rumah digeledah.

Dia melihat mayat isterinya terlantar di bilik tidur utama, manakala anak perempuan serta anak saudara lelakinya bergelimpangan di ruang tamu.

Dalam keadaan cemas itu, dia terus mendapatkan Habizah yang disangka sudah mati kerana berlumuran darah.

Namun, bayi itu didapati sedang menangis di sisi mayat ibunya.

Sumber itu berkata, dua lelaki warga Myanmar ditahan berhubung kejadian itu.

Ali yang dikawal ketat anggota polis enggan mengulas apabila ditemui wartawan.

Dia kelihatan tidak dapat mengawal perasaan sejurus melihat mayat isteri, anak dan anak saudaranya dengan kesan tikaman pada badan.

Seorang saksi dikenali sebagai Salimah, 43, berkata dia tidak menduga kejadian itu akan menimpa keluarga terbabit berikutan mereka difahamkan tidak mempunyai musuh.

“Mereka sudah 20 tahun tinggal di sini dan mula menyewa rumah terbabit sejak tiga tahun lalu. Saya turut sedih dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, tidak menolak pembunuhan itu bermotifkan samun berikutan penyerang dipercayai lebih daripada seorang menyelongkar rumah mangsa.

“Pemeriksaan menunjukkan terdapat kesan ceroboh rumah mangsa berikutan pintu belakangnya dipecahkan sebelum penyerang masuk.

“Sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menikam mangsa turut ditemui berhampiran tempat kejadian. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302, kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada awal pagi berikutan saksi mendakwa melihat keluarga terbabit berada di rumah berkenaan, petang kelmarin.

Dipetik drp artikel harian metro 19 Feb 2009 .../