Monday, February 16, 2009


Bayi air suam

KANGAR: Seorang bayi perempuan yang baru lahir disimpan seorang pembantu rumah warga Indonesia dalam laci almari selama tiga hari di rumah majikannya di Taman Fauziah di sini.


Bayi itu yang hanya diberikan air suam ketika kelaparan bagi mengelaknya menangis ditemui majikan amah terbabit, seorang pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, pagi semalam.

Pegawai kanan polis wanita berusia 30-an itu yang enggan namanya disiarkan, berkata pembantu rumahnya memaklumkan bayi yang sudah tertanggal tali pusatnya itu tiga hari disorok dalam laci almari itu.

“Saya terdengar tangisan kuat dari bilik amah sebelum terkejut apabila mendapati seorang bayi yang baru beberapa hari dilahirkan berada dalam laci almarinya kira-kira jam 6 pagi tadi (semalam).

“Amah itu mendakwa menemui bayi itu di tepi tong sampah berhampiran rumah Jumaat lalu sebelum dibawa pulang tanpa pengetahuan saya.

“Bayi berkenaan dilaporkan stabil walaupun ditemui dalam keadaan kelaparan selepas tiga hari hanya diberi minum air suam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, ketika dihubungi mengesahkan penemuan bayi perempuan berkenaan di kediaman seorang pegawai kanannya.

Katanya, bayi itu dalam keadaan sihat dan kini dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk pemeriksaan.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses mengambil keterangan daripada amah terbabit untuk mengumpulkan maklumat, termasuk bukti untuk mengesahkan penemuan bayi itu.

“Kami menghantar amah terbabit ke HTF untuk pemeriksaan lanjut dan kini masih menunggu laporan perubatan daripada hospital.

“Setakat ini, kami tidak boleh mengulas mengenai dakwaan amah terbabit sama ada penemuan itu benar atau kemungkinan bayi itu anaknya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, amah itu mendakwa bayi itu ditemuinya di tempat pembuangan sampah sebelum membawa pulang ke rumah majikan untuk dijaga.

“Dia turut mendakwa menyembunyikan bayi berkenaan dalam bilik, termasuk hampir sepanjang masa disorok dalam laci almari di bilik tidur untuk mengelak disedari majikannya,” katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan atau membuang kanak-kanak dalam keadaan terbiar.